Sekarang sudah tiba musim Lent, atau lebih dikenali sebagai musim Paska. Salah satu topik utama dalam musim Paska adalah pengampunan, kerana inilah yang kita peroleh daripada Allah kerana kita percaya kepada pengorbanan Kristus pada kayu salib. Menerima pengampunan daripada Tuhan merupakan perkara yang senang, tetapi menghulurkan pengampunan kepada orang yang bersalah kepada kita merupakan perkara yang susah.
Apakah salah faham atau mitos dalam kekristianan berkenaan dengan pengampunan? Saya berikan tiga:
Pertama, pengampunan bukan bermaksud melupakan. Allah dikatakan mengampuni dan melupakan (Ibrani 8:12), tetapi adakah kita boleh melupakan? Sebagai manusia yang fana, kita tidak akan pernah melupakan dengan 'sempurna'. Tidak juga diingati selalu, tetapi tidak juga terpadam daripada ingatan kita. Untuk melupakan sesuatu, dua perkara harus terjadi - satu, kepala orang itu dipenggal (atau dia mati); kedua, perkara itu sudah begitu lama berlaku (mungkin waktu kanak-kanak) sehingga dia tidak ada ingatan terhadap perkara tersebut. Pengampunan tidak bermaksud melupakan kerana kesalahan yang dilakukan terhadap kita boleh sahaja menjadi pengajaran untuk masa depan yang lebih baik.
Ini membawa kita kepada mitos kedua: Pengampunan bermaksud menerima semula orang yang berbuat salah kepada kita. Ini boleh berlaku, tetapi tidak semestinya berlaku. Ada peristiwa yang pendamaian itu boleh dicapai antara dua pihak yang saling mengampuni. Contohnya dalam filem The Railway Man (2013), Eric Lomax mengampuni Nagase atas segala penyeksaan yang dialaminya sewaktu pembinaan landasan keretapi Thai-Burma sebagai tawanan Perang Dunia Kedua. Ini merupakan kesudahan yang baik, tetapi tidak selalu terjadi.
Ada situasi yang mangsa-mangsa penderaan, misalnya kanak-kanak boleh diajar untuk mengampuni orang yang bersalah terhadap mereka, namun demi keselamatan dan untuk mengelakkan trauma tambahan, kanak-kanak itu tidak didamaikan dengan pemangsa itu. Dalam pengampunan, hikmat juga diperlukan. Ada situasi pengampunan dan pendamaian itu boleh dilakukan; ada juga situasi pengampunan boleh dilakukan tetapi untuk menyatukan kembali kedua-dua peribadi tersebut adalah suatu tindakan yang kurang wajar.
Dan akhir sekali, mitos bahawa pengampunan itu berlaku serta merta atau tidak melalui proses. Ada orang Kristian yang disuruh atau dipaksa untuk terus mengampuni orang yang bersalah itu dalam satu hembusan nafas. Ini tidak logik dan tidak mempertimbangkan hal kemanusiaan. Allah yang sempurna, tanpa kecacatan emosi dan kehendak, boleh mengampuni dalam sekelip mata. Tetapi manusia yang fana, rosak, berdosa, biarpun seorang Kristian, membawa dalam diri kerosakan keperibadian. Maka mengampuni dalam sekelip kata tidak semestinya berlaku.
Saya sendiri tidak terus mengampuni orang yang memotong di depan kereta saya, atau memandu perlahan di lorong kanan. Saya boleh saja mengampuni, tetapi mengambil masa sehari atau dua untuk benar-benar melepaskan orang itu daripada kesalahannya. Banyak insiden lain termasuk hal ini yang menuntut proses pengampunan - yang mana ini bermula dari melafazkan "Saya mengampuni kamu" sehinggalah tidak ada lagi perasaan dendam dan amarah dalam hati kita
Kita boleh berdoa meminta kekuatan untuk mengampuni, tetapi kita menerima hakikat bahawa kita ini manusia dan bukan malaikat, supaya kita tidak mengampuni secara munafik. Biarlah proses mengampuni itu mengambil masa panjang tetapi sempurna, daripada mengampuni sekelip mata tetapi masih berdendam terhadap orang itu.
Akhirnya, kita diperingatkan tentang beberapa perkara pada musim Lent ini: