Pengampunan tidak berlaku dalam satu malam. Yesus juga perlu melalui kesakitan sebelum menyempurnakan karya penyelamatan-Nya. Begitu juga kita dalam hal mengampuni orang lain, terdapat proses-proses yang kita perlu lalui seperti kesakitan atau penderitaan. Namun, Alkitab memberikan banyak contoh pengampunan kepada kita untuk mengingatkan kita tentang kasih pengampunan Tuhan yang sangat besar dan mengajar kita tentang pengampunan.
1. Penjenayah dijatuhi hukuman mati: Sewaktu Yesus disalib, penjenayah yang disalib di sisi Yesus berkata, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!” Bahkan terhadap penjenayah yang akan mati tidak lama lagi, Yesus memberikan janji pengampunan kepadanya: “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus” (Lukas 23:43, BM).
Penjenayah itu sedar bahawa dia layak menerima hukuman yang sewajarnya tetapi bertaubat, meletakkan kepercayaan dan harapannya kepada Yesus pada saat-saat terakhir hidupnya. Yesus yang tidak memandang dan mengira betapa berdosanya penjenayah itu, memberikan janji pengampunan-Nya.
2. Petrus: Petrus merupakan seorang sahabat rapat Yesus. Namun kerana takut nyawanya diancam, dia telah menyangkal bahawa dia tidak mengenali Yesus sewaktu Dia ditangkap. Namun, Yesus mengampuni Petrus dan memakainya untuk memulakan gereja (Markus 14:66-72; Yohanes 21:15-19).
Penyangkalan Petrus dan pengampunan Tuhan menunjukkan kepada kita bahawa tidak kira betapa dalam kita telah menyakiti hati Tuhan, Dia akan tetap mengampuni kita dengan penuh kasih dan mahu memakai kita untuk pelayanan-Nya di bumi.
3. Wanita yang tertangkap basah: Hukum pada zaman itu, wanita yang berzina tersebut sepatutnya dihukum mati. Namun Yesus Kristus mengampuni dosa-dosanya (Yohanes 8:1-11).
Rasa malu dan serba salah kita tidak dapat menandingi kasih pengampunan Tuhan terhadap kita. Yesus berkata kepada wanita itu, "Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi" (Yohanes 8:11). Dia juga ingin berbuat demikian kepada kita ketika kita datang kepada-Nya.
4. Paulus: Dia dengan giat mengheret orang Kristian dari rumah dan membunuh mereka. Dalam Kisah Rasul-Rasul 8, dia berdiri sambil menonton, menganggukkan kepala sebagai tanda bersetuju apabila Stefanus direjam sampai mati. Namun kemudian dia bertemu dengan Yesus dan menghabiskan sisa hidupnya untuk menyebarkan injil (Kisah Rasul-Rasul 9; 1 Timotius 1:15).
5. Pertaubatan Paulus seharusnya menjadi contoh kepada kita sebagai orang yang telah menerima belas kasihan dan pengampunan daripada Tuhan. Sebagai tanda syukur dan sukacitanya atas pengampunan Tuhan, Paulus telah melayani Tuhan dengan memberitahu orang lain tentang pengampunan-Nya.
6. Yusuf (Kejadian 37-50): Masa mudanya sangat susah. Dia dibenci oleh abang-abangnya kerana menerima kasih sayang yang istimewa daripada Yakub. Pada umur 17 tahun, dia hampir dibunuh dan dibuang ke dalam perigi yang kering. Kemudian dia dijual dan dibawa ke Mesir. Di Mesir, dia dituduh memperkosa isteri tuannya lalu dipenjara dengan tidak adil. Jika ada sesiapa yang patut berasa marah, benci dan berdendam, orang itu ialah Yusuf. Di tengah-tengah tragedi yang menimpanya, dia dilantik oleh Firaun menjadi penguasa di Mesir. Namun, perkara yang mengagumkan tentang kisah Yusuf ialah dia tetap mengampuni abang-abangnya dan menolong mereka semasa mengalami kebuluran.
Ketika kita tidak mampu mengampuni orang lain, lihatlah pekerjaan Yesus dan kesaksian hidup Yusuf yang sanggup mengampuni abang-abangnya.
7. Anak yang sesat (Lukas 15:11-31): Kisah tentang dua orang anak yang diberikan harta pusaka oleh bapa mereka. Si bongsu menjual hartanya dan menggunakan wangnya untuk berfoya-foya. Kemudian kebuluran berlaku tetapi dia sudah menggunakan wangnya sehingga habis. Oleh sebab hidupnya yang perit, dia mengambil keputusan untuk kembali kepada bapanya. Dia sudah insaf dan bertaubat daripada perbuatannya. Apabila dia dilihat oleh bapanya dari jauh lagi, bapanya berlari menemuinya dan memeluk serta menciumnya. Dia sangat gembira melihat anaknya kembali ke pangkuannya sehingga mengadakan jamuan.
Dalam hal ini, bapa mewakili hati Tuhan yang mengampuni tanpa ragu-ragu. Manakala anak itu mewakili kita yang mahu bertaubat dan kembali kepada Bapa kita yang di syurga.