Mengampuni Seperti Tuhan Mengampuni

Laman Utama > Mempraktikkan Perjanjian Dalam Kehidupan Seharian > Mengampuni Seperti Tuhan Mengampuni

Mengampuni Seperti Tuhan Mengampuni

5 Langkah Untuk Mengampuni Orang Lain

“Jika saudaramu telah berbuat dosa terhadapmu, tegurlah dia dan jika dia bertaubat, ampunilah dia. Jika dia berdosa sebanyak tujuh kali terhadapmu dalam sehari dan setiap kali dia datang kepadamu serta berkata, 'Aku bertaubat,' kamu hendaklah mengampuninya" (Lukas 17:3-4).

Yesus telah memberikan 5 pola untuk mengampuni orang yang berdosa kepada kita.

1. Mengenal pasti Kesalahan yang dilakukan

Apakah kesalahan atau dosa yang dilakukan terhadap kita sehingga Yesus menyuruh kita bertindak balas? Walaupun tiada penerangan secara terperinci tentang dosa dalam hal ini, tetapi Alkitab berkata bahawa dosa boleh ditakrifkan sebagai sebarang kegagalan untuk mengasihi. Kita perlu mengenal pasti kesalahan atau dosa yang mereka atau kita lakukan. Ini akan membantu kita untuk bertindak dengan betul dan tidak menutup sebelah mata atau memperkecil-kecilkan perbuatan itu.

2. Menegur Kesalahan

Bagi kita yang terluka, kita ada kewajipan untuk bertindak iaitu menegur mereka. Apabila kita menegur, kita perlu bertanya “apakah yang dituntut oleh kasih Yesus?” Teguran kita hendaklah berdasarkan prinsip Alkitab dan kasih ilahi. Ini adalah untuk kebaikan mereka dan bukan menghancurkan mereka. Kita menegur kesalahan mereka dengan hormat, berhati-hati, dan sewajarnya untuk tujuan membetulkan, mengajar, dan menginsafkan. Walaupun ada senario buruk yang mungkin berlaku akibat teguran kita, namun perkara betul yang dituntut oleh kasih Yesus masih perlu diteruskan. Selain itu, kasih Yesus juga menuntut kita bersedia untuk saling mengampuni (1 Petrus 4:8).

3. Mengharapkan Pertaubatan

Orang yang berdosa kepada kita mesti sedar dan mengakui kegagalan mereka untuk mengasihi. Begitu juga dengan kita, kita harus bertaubat dan berusaha untuk berdamai kerana pengampunan perlu disertai dengan pertaubatan. Ketika kita mengalami perkara ini, kita berdoa dan berharap agar mereka benar-benar mengakui kesalahan, tidak berdalih, dan memohon belas kasihan dengan rendah hati, serta menanggung akibatnya. Ini bukanlah keinginan kita tetapi keinginan hati Tuhan untuk melihat anak-anak-Nya benar-benar bertaubat. Dalam ibadah, kadang-kadang perjamuan kudus tidak diberikan kepada orang yang tidak bertaubat.

4. Melepaskan Pengampunan

Pengampunan terhadap sesama akan membuang penghalang untuk mengasihi, berlaku jujur, dan bertumbuh dalam perhubungan. Ia juga membuang alasan untuk mengelak, menjauhkan diri, dan bersikap dingin.

Pengampunan bermaksud “saya tidak lagi berdendam terhadap kamu.”

Tetapi pengampunan tidak bermaksud bahawa kita tidak peduli akan akibat dosa yang sudah diampuni. Ketika Tuhan mengampuni kita, Dia tidak menghapuskan hukum alam berkaitan “menabur dan menuai” (Galatia 6). Dia mengampuni kita untuk menawarkan satu hubungan, menyingkirkan rasa bersalah dan malu dalam diri kita.

5. Memulihkan Hubungan

Pemulihan dapat dilakukan melalui pertaubatan dan pengampunan.

Pemulihan dalam perhubungan manusia membuat kita mengalami sukacita seperti yang dialami oleh Tuhan apabila kita datang kepada-Nya dengan pertaubatan dan pengakuan dosa. Kita yang dahulunya jauh daripada Tuhan dan hidup bertentangan dengan kehendak-Nya, telah diperdekat dengan Tuhan untuk menikmati hubungan yang dipulihkan. Begitu juga hubungan kita dengan sesama, ketika pemulihan berlaku, kita akan mengalami satu kebebasan yang indah. Fasa pemulihan mungkin tidak semudah yang kita fikirkan, tetapi marilah berusaha untuk memulihkan hubungan yang rosak dengan kasih Yesus.

Semoga Allah kesejahteraan yang telah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian, Gembala domba yang mulia itu, melalui darah perjanjian kekal, melengkapkan kamu dengan segala yang baik untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Yesus Kristus, bagi-Nya kemuliaan selama-lamanya. Amin (Ibrani 13:20-21). Dalam hal mengampuni, kita perlu mengorbankan perasaan sakit dan marah kita tetapi dengan darah perjanjian kekal, Yesus akan melengkapkan kita untuk melepaskan pengampunan yang perlu.

Ketika Pengampunan Kelihatan Mustahil

Apakah yang dituntut oleh kasih Kristus? Baca atau muat turun Siri Bimbingan ini untuk memahami erti pengampunan berdasarkan kasih Yesus.

Klik Untuk Selanjutnya
Laman Utama > Mempraktikkan Perjanjian Dalam Kehidupan Seharian > Bagaimanakah Cara Mengampuni Diri Sendiri?