Mengapakah Harus Mengampuni?

Laman Utama > Pelan Bacaan > Mengapakah Harus Mengampuni?

Mengapakah Harus Mengampuni?

Ketika seorang teman telah mengkhianati saya, saya tahu bahawa saya harus mengampuninya, tetapi saya tidak pasti sama ada saya mampu untuk berbuat demikian. Kata-katanya benar-benar melukai hati saya dengan sangat dalam, dan saya terpegun dengan kesakitan dan kemarahan. Meskipun kami sudah berbincang tentang hal itu dan saya mengatakan bahawa saya telah mengampuninya, namun untuk satu jangka masa yang lama apabila saya bertemu dengannya, saya masih merasakan sedikit sakit hati. Dengan demikian saya mengetahui bahawa saya masih memendam sedikit perasaan marah. Bagaimanapun, pada suatu hari, Tuhan menjawab doa saya dan memberi saya kemampuan untuk melepaskan kesakitan dan kemarahan itu sepenuhnya. Akhirnya saya terlepas daripada perasaan tersebut.

Pengampunan adalah inti iman Kristian. Penyelamat kita tetap mengampuni walaupun pada ketika Dia sedang menghembuskan nafas yang terakhir di kayu salib. Yesus mengasihi orang yang telah memakukan-Nya dengan berdoa agar Bapa-Nya mengampuni mereka. Dia tidak menyimpan kepahitan mahupun kemarahan, malah menunjukkan rahmat dan kasih kepada mereka yang bersalah terhadap-Nya.

Inilah masa yang sesuai di hadapan Tuhan untuk memikirkan individu yang mungkin kita perlu ampuni. Kita harus mencontohi Yesus dalam hal mengampuni dan mengasihi orang yang menyakiti kita. Ketika kita meminta Roh Tuhan untuk membantu kita mengampuni orang, Dia akan datang untuk menolong—termasuklah perkara yang kita mungkin memerlukan masa yang lama untuk mengampuni. Ketika kita melakukan hal itu, kita akan terlepas dari penjara yang tidak mengampuni.

Doa

Tuhan Yesus Kristus, Engkau tinggal dalam aku. Melalui rahmat dan kuasa-Mu, tolong aku untuk mengampuni orang lain, sehingga kasih-Mu membebaskan aku.

Bahkan di kayu salib, Yesus masih mengampuni mereka yang menyakiti-Nya.

Oleh Amy Boucher Pye

Amy Boucher Pye ialah seorang penulis, editor dan pemidato. Sebagai penulis bagi buku Finding Myself in Britain: Our Search for Faith, Home, and True Identity, dia juga menguruskan kelab buku dalam talian, Woman Alive. Kini dia tinggal bersama suaminya yang merupakan pastor dan keluarga-Nya di United Kingdom.