Persoalan-Persoalan Tentang Pengampunan?

Laman Utama > Memahami Perjanjian Kekal > Persoalan-Persoalan Tentang Pengampunan?

Persoalan-Persoalan Tentang Pengampunan?

Pengertian kita terhadap pengampunan Tuhan adalah terhad. Kasih-Nya yang amat besar tidak dapat dijangkau oleh pemikiran manusia sehingga menimbulkan persoalan atau keraguan dalam diri kita. Walaupun kita mungkin mempunyai banyak persoalan, namun ingatlah dan percayalah bahawa kita sudah diampuni melalui “darah perjanjian yang ditumpahkan bagi ramai orang untuk pengampunan dosa” (Matius 26:28). Berikut adalah beberapa soalan-soalan yang biasa ditanya tentang pengampunan.

1. Saya telah jatuh dengan begitu dalam, adakah saya masih layak untuk diampuni?

Jika kita memikirkan bahawa kita tidak layak diampuni oleh Tuhan, harapan masih ada. Tuhan mahu kita tahu bahawa Dia dapat mengampuni semua perkara yang menghantui kita. Alkitab berkata bahawa Tuhan mengampuni orang yang sungguh-sungguh menyesal dengan kehidupan yang mereka telah lalui.

Dia bukan harus mengampuni kita—melainkan Dia telah berjanji untuk mengampuni kita.

Tuhan sendiri telah menderita untuk mengampuni kita, walaupun kita tidak layak untuk menerima pengampunan. Dalam kasih-Nya, Tuhan telah menemui jalan untuk menghukum kesalahan-kesalahan kita (yang selayaknya bagi kita), namun Dia masih memberi pengampunan kepada kita walau sejahat mana pun kita.

Yesus tidak datang ke bumi untuk “menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya. Sesiapa yang percaya kepada Anak itu tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana dia tidak percaya kepada Anak Allah yang tunggal” (Yohanes 3:17-18, BM).

2. Bagaimanakah sekiranya saya tidak ‘berasa’ bahawa saya sudah diampuni oleh Tuhan?

Ramai antara kita masih bergelut dengan perasaan bersalah dan malu. Ada masanya kita dihantui oleh luka-luka lama, pilihan-pilihan bodoh, dan keadaan-keadaan yang memalukan. Tiba-tiba kita akan berasa tidak berguna dan sangat teruk, seakan-akan kita kehilangan harapan.

Walaupun sudah memohon pengampunan daripada Tuhan dan menerima Yesus sebagai Penyelamat kita, kita masih berasa bahawa kita seolah-olah tidak diampuni. Kita mungkin berasa bahawa Tuhan sudah menolak kita kerana perbuatan kita yang keterlaluan. Namun, pengampunan adalah sesuatu yang dilakukan oleh Tuhan, dan Dia pun sudah melakukannya. Ia tidak bergantung kepada perasaan kita. Apa yang kita dapat lakukan adalah dengan menerima pengampunan itu dan percaya sungguh-sungguh. Ingatlah “Sejauh timur dari barat, sejauh itu juga dibuang-Nya dosa kita” (Mazmur 103:12, BM).

3. Sekiranya saya telah diampuni oleh Tuhan, mengapakah saya masih menderita disebabkan kesilapan pada masa lampau?

Tuhan juga berjanji bahawa Dia tidak akan membiarkan atau meninggalkan kita (Ibrani 13:5).

Diampuni oleh Tuhan bukan bermakna bahawa kita tidak akan berhadapan dengan akibat perbuatan-perbuatan kita. Tetapi tidak kira apa kesusahan yang kita perlu lalui atau hadapi, kita dapat melakukannya dengan pengharapan. Dia juga berjanji akan membetulkan kesilapan-kesilapan kita dan menggunakannya untuk sesuatu yang baik, apabila kita meletakkan kepercayaan kita kepada-Nya (Roma 8:28). Oleh itu, kita tidak perlu menghadapi kesakitan dan kesulitan hidup dengan sendirian. Satu hal yang pasti ialah bahawa tidak akan ada hukuman untuk perkara-perkara jahat yang kita telah lakukan. Kristus telah menanggung semuanya untuk kita.

4. Apakah Pengertian Salah Terhadap Pengampunan?

A) Mengurangkan kesalahan: Kita mengampuni bukan untuk mengurangkan kesalahan si pelaku. Kesalahan mereka masih tetap sama. Ketika kita mengurangkan kesalahan seseorang seperti berkata “itu bukan perkara yang besar,” “itu hanya sifatnya, dia tidak bermaksud demikian,” “saya/kamu ini cepat tersinggung,” kita akan menyekat pertumbuhan dan kesedaran orang itu terhadap kesalahannya.

B) Mengampuni dan melupakan: Mengampuni tidak bermaksud melupakan. Tuhan tidak mengajar kita untuk melupakan, tetapi tidak menghukum orang kerana dosa mereka. Dengan pertolongan Tuhan, kita mampu mengampuni dengan kasih akan kesalahan orang lain yang masih segar dalam ingatan kita.

C) Mengampuni demi kebaikan diri sendiri: Pendekatan bagi pengampunan ini adalah kesan sampingan ajaran “pertama-tama, kasihilah diri sendiri” dengan idea bahawa memgampuni akan menguntungkan diri sendiri, berbuat baik kepada diri sendiri, dan membebaskan diri daripada menjadi mangsa emosi orang lain. Ini memang melepaskan kita daripada kepahitan dan dendam, tetapi ini boleh melemahkan ajaran Alkitab tentang kasih dan pengampunan. Bahayanya ialah ia boleh mengubah pengampunan daripada ungkapan kasih kepada sikap mementingkan dan melindungi diri sendiri. Ketika kita mengampuni, kita perlu bertanya, “apakah yang dituntut oleh kasih Tuhan?” — mengasihi Tuhan dan mengasihi orang yang telah menyakiti kita.

Dapatkah Saya Diampuni?

Siri Bimbingan untuk membantu anda memahami pengampunan Tuhan melalui penyaliban Yesus. Baca atau muat turun sekarang!

Klik Untuk Selanjutnya
Laman Utama > Memahami Perjanjian Kekal > Persoalan-Persoalan Tentang Pengampunan?