Dalam Alkitab, pengampunan membawa maksud “membebaskan,” “menghantar pergi,” atau “melepaskan.” Perkataan Yunani yang sering diterjemah sebagai “pengampunan” dipakai untuk menyatakan pelepasan daripada jawatan, perkahwinan, kewajipan, hutang, atau hukuman. Oleh itu, dalam istilah Alkitab, pengampunan bermaksud penghapusan hutang dengan sukarela dan kasih. Kematian Yesus pada kayu salib telah memberi pengampunan kepada kita, bukan sahaja dosa kita pada masa lalu, tetapi juga pada masa sekarang dan akan datang. Bahagian kita adalah sentiasa datang kepada Tuhan dengan kerendahan hati, “mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan” (Yohanes 1:9).
Pengampunan Tuhan itu…
Pada saat kita percaya kepada Kristus sebagai Penyelamat, kita terlepas daripada hukuman Tuhan.
Tuhan dengan kewibawaan-Nya sendiri telah membebaskan kita daripada segala pertuduhan. “Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah” (2 Korintus 5:21, BM).
Adakah ini bererti bahawa kita tidak lagi bertanggungjawab untuk semua perbuatan salah yang kita pernah lakukan? Pengampunan Tuhan bukan bererti bahawa tidak akan ada akibat daripada perbuatan-perbuatan kita (Galatia 6:7). Apabila kita melakukan perkara yang salah, melakukan kesilapan, dan menyakiti orang lain, kita masih perlu menghadapi akibatnya.
"Diberkatilah orang yang diampuni kemungkarannya dan yang dihapuskan dosa-dosanya. Diberkatilah orang yang dosanya tidak diperhitungkan Tuhan" (Roma 4:7-8).
Dosa kita diampuni, dihapus, dan tidak diperhitungkan lagi.
Pengampunan Tuhan itu sempurna dan muktamad untuk selama-lamanya. Kita tidak perlu bimbang soal diperhadapkan lagi dengan semua dosa kita. Kita tidak akan berhadapan dengan hukuman bagi dosa-dosa kita.
Apabila kita menerima pengampunan daripada Tuhan, Dia mengambil kegagalan dan rasa bersalah kita, dan meletakkan semua itu kepada Kristus. Kita tidak lagi akan berhadapan dengan hukuman bagi dosa-dosa kita.
Terdapat harga yang mahal dituntut daripada kedua-dua pihak yang terlibat dalam proses pengampunan, baik daripada pihak Tuhan yang mengampuni kita mahupun daripada pihak kita sebagai manusia yang menerima pengampunan.
Harga pengampunan Tuhan bagi manusia adalah – Dia menghukum Anak-Nya kerana dosa kita. Dia yang adil telah diseksa dan dibunuh bagi pihak orang yang tidak adil (1 Petrus 3:18). Dia sendiri tidak berdosa, sebab Dia adalah sempurna! Namun dalam kesempurnaan-Nya, Dia memilih untuk menanggung kegagalan, keegoan, rasa bersalah, dan perasaan malu kita. Setelah penyaliban-Nya selesai, Tuhan menerima kematian Yesus sebagai bayaran yang “sudah dilunaskan” kerana dosa kita (Yohanes 19:30).
Tiga hari kemudian, Yesus bangkit daripada kematian. Dengan melangkah keluar dari kubur, Yesus menunjukkan bahawa syurga menerima pengorbanan-Nya. Dia juga menunjukkan satu kehidupan yang baharu dengan Tuhan, iaitu: Kehidupan yang diampuni merupakan satu kebenaran bagi sesiapa yang percaya kepada-Nya.
Itulah sebabnya kita harus merenung dan mengingati kematian Yesus melalui perjamuan kudus. Roti perjamuan mengingatkan kita tentang tubuh Yesus dan air perjamuan mengingatkan kita tentang darah-Nya yang telah mengalir pada kayu salib. “Dia menanggung dosa kita dalam tubuh-Nya sendiri di kayu salib, supaya kita mati terhadap dosa dan hidup untuk perbenaran. Luka-luka-Nya telah menyembuhkan kamu” (1 Petrus 2:24).
Harga yang harus dibayar oleh manusia – Bagi kita yang tersinggung atau disakiti, harga yang harus dibayar adalah melepaskan dendam, membatal hutang, dan berusaha memulihkan hubungan dengan orang lain yang sudah bertaubat. Bagi kita yang telah menyakiti seseorang, harga yang harus dibayar adalah dengan mengakui kesalahan dengan rendah hati dan bertaubat, tidak menyembunyikan perbuatan tetapi mengakuinya, bertanggungjawab penuh ke atas perbuatannya dan akibat perbuatan itu, memohon belas kasihan Tuhan dengan hati yang hancur serta menerima rahmat Tuhan dengan ucapan syukur.
Walaupun harga pengampunan adalah tinggi bagi kita, namun harganya berbaloi kerana sukacita dalam pemulihan dan kebebasan turut diperoleh setelah perhubungan dipulihkan.