Setiap kita pernah mengalami rasa bersalah kerana perbuatan dan dosa kita. Ada orang yang mempunyai rasa bersalah yang sangat dalam sehingga berasa tidak layak dan membenci diri sendiri, mengalami kemurungan atau ingin membunuh diri. Atau kita mendefinisikan keadaan ini sebagai tidak dapat mengampuni diri sendiri akibat perbuatan dosa kita yang kejam, memalukan, dan jijik. Namun, adakah konsep mengampuni diri sendiri adalah benar dan Alkitabiah? Mengapakah kita berasa bahawa kita perlu mengampuni diri sendiri?
Kuasa pengampunan adalah di tangan Tuhan.
Ketika kita melakukan dosa yang sangat dalam, ingatlah bahawa pengampunan datang daripada Tuhan, bukan berdasarkan kemampuan kita untuk memaafkan diri sendiri. Pengampunan berdasarkan pekerjaan Bapa melalui Anak-Nya yang telah menanggung kesakitan dan hukuman bagi pihak kita di kayu salib.
Kadang-kadang kita berasa tidak dapat mengampuni diri sendiri kerana kita tidak yakin dengan kasih pengampunan Tuhan untuk kita. Oleh itu, kita harus percaya bahawa Tuhan kita itu sangat berbelas kasihan dan Dia mampu mengampuni dosa-dosa yang kita tidak dapat lupakan. Untuk membebaskan diri daripada cengkaman malu dan rasa bersalah, pertama kita perlu memahami pengampunan Tuhan.
Tuhan menciptakan kita untuk hidup bergaul dengan-Nya. Namun kita lebih cenderung hidup tanpa Dia. Kita tidak mempedulikan Tuhan, Pencipta kita. Oleh itu kita menyakiti hati Tuhan, menyakiti orang lain, dan melakukan perkara-perkara yang mementingkan diri sendiri. Inilah yang dikatakan sebagai dosa oleh Alkitab.
Dosa membangkitkan kemurkaan Tuhan. Ia merupakan kemurkaan Tuhan yang benar dan tepat apabila melihat segala sesuatu tidak sesuai dengan jalan-Nya yang sempurna. Kehendak-Nya yang agung untuk kita adalah sempurna dan baik.
Walaupun kita layak menerima kemurkaan dan hukuman Tuhan, Yesus tidak datang ke bumi untuk menghakimi. Dia datang untuk menyelamatkan kita daripada dosa kita dan kemurkaan Tuhan.
(Yohanes 3:17-18).
Kita tentu percaya bahawa orang yang bersalah layak dihukum. Begitu juga ketika kita mengalami rasa bersalah dan malu, kita berasa bahawa kita tidak layak mendapat pengampunan.
Dia memilih untuk menanggung kegagalan, keegoan, rasa bersalah, dan perasaan malu kita.
Jika kita ialah pihak yang bersalah, bagaimanakah Tuhan dapat mengampuni kita? Kalau kita tidak menanggung dosa sendiri, maka siapakah yang menanggungnya? Hanya ada satu Peribadi yang dapat menanggung segala kesalahan yang kita telah lakukan. Dengan memberikan pengorbanan yang besar, Tuhan membayar harga kerana dosa-dosa kita.
Oleh itu, kita tidak lagi perlu menanggung perasaan malu dan rasa bersalah, kerana Yesus sudah mengampuni kita. Bukan usaha kita untuk mengampuni diri sendiri tetapi oleh pengorbanan Yesus. Kita hanya perlu percaya dan menerima dengan iman akan kebenaran ini.
Oleh sebab Kristus mati di kayu salib adalah kerana dosa kita, maka apabila kita percaya kepada-Nya sebagai Penyelamat, kita sudah menerima pengampunan yang lengkap.
“Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah” (Roma 5:1-2).
Perkataan “diperbenar” menggambarkan status seseorang yang telah membayar lunas semua denda kesalahan mereka. Dalam kes ini, Kristus telah membayar denda itu untuk kita.
Bagaimanapun, memahami pengampunan Tuhan itu sahaja tidak cukup, kita perlu ingat bahawa pengampunan ini hanya diberikan kepada mereka yang percaya kepada Yesus. Pengampunan itu umpama ubat, ia hanya berkesan setelah kita mengambil dan memakannya. Tetapi, kita perlu “mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan” (1 Yohanes 1:9).