Apakah erti pengampunan dan harga pengampunan Tuhan kepada kita?

Laman Utama > Perkongsian Hamba Tuhan > Apakah erti pengampunan dan harga pengampunan Tuhan kepada kita?

Apakah erti pengampunan dan harga pengampunan Tuhan kepada kita?

Ungkapan pertama daripada tujuh ungkapan Yesus ketika saat-saat terakhir Yesus di atas kayu salib adalah, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka” (Lukas 23:34). Yesus telah dikhianati oleh salah seorang pengikut-Nya dengan satu ciuman. Ketua imam dan pemimpin-pemimpin agama yang membenci Yesus berkomplot untuk membunuh-Nya. Mereka berjaya menangkap Yesus melalui askar-askar Roma. Para pengikut-Nya meninggalkan Dia dan Petrus menyangkal Yesus sebanyak tiga kali pada hari yang sama.

Apabila Pilatus ingin melepaskan Yesus, orang ramai yang pernah Yesus layani berteriak, “Salibkan Dia, Salibkan Dia!” Yesus telah diejek, dipukul, ditelanjangi, disebat, dihina, dianiaya, dan akhirnya disalibkan oleh askar Rom (Matius 26-27; Markus 14-15; Lukas 22-23; Yohanes 18-19).

Inilah harga pengampunan Tuhan untuk kita: “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan” (Yohanes 3:16-17).

Yesus menumpahkan darah-Nya agar kita beroleh pengampunan terhadap dosa kita (Ibrani 9:22).

Kebangkitan Yesus pada hari ketiga merupakan harapan bagi iman Kristian kita (Matius 28; Markus 16; Lukas 24; Yohanes 20). Apabila kita menerima Yesus Kristus sebagai Penyelamat kita, kita akan diperdamaikan dengan Bapa sebagai waris dan anak-anak-Nya. Dan tiada suatu pun dalam memisahkan kita daripada kasih Tuhan (Roma 8).

Dalam Doa Bapa Kami, Yesus mengajar kita untuk mengampuni antara sesama seperti Bapa di syurga telah mengampuni kita (Matius 6:12). Pengampunan adalah melimpahkan belas kasihan Tuhan dan tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa pun, tetapi melepaskan pesalah dan kesalahan mereka daripada hati kita dan menyerahkannya kepada Tuhan yang suci, benar, dan adil.

Ditulis oleh Dr Eva Wong Suk Kyun
Laman Utama > Perkongsian Hamba Tuhan > Apakah erti pengampunan dan harga pengampunan Tuhan kepada kita?