Pengampunan yang Mustahil

Laman Utama > Pelan Bacaan > Pengampunan yang Mustahil

Pengampunan yang Mustahil

Seseorang telah menemukan sebuah coretan doa yang sudah comot di kem tahanan Ravensbruck, tempat pembunuhan lebih daripada 50,000 orang wanita semasa rejim Nazi. Doa itu berbunyi demikian: Ya Tuhan, jangan cuma mengingati lelaki dan wanita yang baik, tetapi ingati juga yang jahat. Namun janganlah ingati penganiayaan mereka terhadap kami. Ingatlah hasil kami yang lahir daripada penderitaan ini—kesatuan, kesetiaan, kerendahan hati, keberanian, kemurahan hati, serta kebesaran hati. Apabila mereka menghadapi penghakiman, benarkanlah segala hasil yang telah kami lahirkan membawa pengampunan kepada mereka.

Saya tidak dapat membayangkan ketakutan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh wanita yang telah menuliskan doa ini. Saya tidak dapat membayangkan rahmat yang tidak terkatakan, sehingga membolehkan dia mencurahkan doa sedemikian. Dia telah melakukan sesuatu yang mustahil: dia memohon pengampunan untuk orang yang telah menindasnya.

Doa ini menyuarakan doa Kristus. Setelah dijatuhkan tuduhan palsu, dihina, dipukul dan dimalukan di khalayak ramai, Yesus telah disalibkan bersama-sama dua orang penjahat (Lukas 23:33). Ketika tergantung pada kayu salib yang kasar, dengan tubuh yang hancur dan sesak nafas, saya menjangka Yesus akan menjatuhkan penghakiman ke atas penganiaya-Nya, untuk mendapatkan pembalasan atau penghakiman Tuhan. Namun Yesus telah menyuarakan doa yang bertentangan dengan sifat setiap manusia: “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka” (ayat 34).

Pengampunan Yesus kelihatan mustahil, tetapi Dia menawarkannya kepada kita. Dalam rahmat Tuhan, pengampunan yang ajaib ini mengalir dan melimpah.

Doa

Tuhan, pengampunan-Mu adalah amat menakjubkan, ia sesuatu yang mustahil. Semasa menghadapi penderitaan, kami sukar membayangkan kemungkinan ini. Tolong kami. Ajar kami tentang kasih-Mu.

Oleh Winn Collier

Winn menetap di Charlottesville, Virginia bersama isterinya, Miska dan dua orang anak lelaki. Winn suka membina persahabatan, membeli kopi yang ada label perdagangan adil, menonton filem yang penuh hikmah, membaca buku yang berkualiti, mendaki gunung, soalan dan bersiar-siar di hutan. Winn tidak suka kepura-puraan, ancaman dan ketidakadilan. Winn menulis bagi beberapa majalah dan merupakan penulis bagi empat buah buku: Restless Faith: Hanging on to a God Just Out of Reach; Let God: The Transforming Wisdom of François Fénelon; Holy Curiosity: Encountering Jesus’ Provocative Questions; dan buku fiksyen terbarunya, Love Big, Be Well: Letters to a Small-Town Church. Winn ialah pastor bagi gereja All Souls Charlottesville.