Mengampuni Sebagai Gaya Hidup

Mengampuni Sebagai Gaya Hidup

Sebagai orang-orang yang sudah menerima pengampunan melalui darah perjanjian kekal, kita mempunyai kewajiban untuk menjadikan pengampunan sebagai gaya hidup. Terdapat 3 cadangan bagaimana kita boleh mempraktikkan pengampunan dalam kehidupan seharian kita.

1. Apabila berhadapan dengan pengampunan, anggaplah itu sebagai proses seumur hidup

Pengampunan bukan berlaku sekali sahaja tetapi ia akan berterusan dan berulang-ulang.

Kita akan terus saling menyakiti namun firman Tuhan berkata, “Jika dia berdosa sebanyak tujuh kali terhadapmu dalam sehari dan setiap kali dia datang kepadamu serta berkata, 'Aku bertaubat,' kamu hendaklah mengampuninya" (Lukas 17:4). Ayat ini mengajar kita tentang pengampunan yang tidak terbatas dan prosesnya tidak berkesudahan.

2. Apabila anda ialah pesalah, berhati-hati supaya tidak menuntut pengampunan

Banyak permohonan pengampunan dibuat semata-mata untuk mengelak kesakitan akibat perbuatan yang salah dan menyakitkan. Ketika kita menuntut pengampunan, niat kita hendaklah betul. Jika pesalah cuba menentang dan memalukan orang yang terluka supaya terlepas daripada teguran, maka permintaannya bukanlah permohonan yang ikhlas. Pertaubatan yang sejati tidak menuntut apa-apa hak ketika memohon belas kasihan atas perbuatan salah tetapi menunjukkan hati yang hancur.

3. Milikilah hati yang mengampuni untuk membuat persiapan bagi hati yang bakal terluka

Dalam hal ini, terdapat 4 ciri penting yang dapat membantu kita membina hati yang mengampuni.

a) Keinginan untuk kepuasan yang kekal: Kepuasan dan keseronokan untuk membalas dendam hanya bertahan sementara. Yesus berkata, “ Berbahagialah orang yang betul-betul mahu melakukan kehendak Allah, Allah akan memuaskan mereka!” (Matius 5:6). Kehendak Tuhan adalah seperti mengasihi orang yang menyakiti kita. Mengasihi ataupun mengampuni mungkin kelihatan bodoh, tetapi inilah kasih yang membezakan kita sebagai pengikut Kristus dengan bukan pengikut Kristus. Tuhan juga akan memuaskan keinginan orang-orang yang mempercayakan kesejahteraan hidupnya kepada Tuhan.

b) Kehancuran hati melalui penyesalan dan kesedihan: “Kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah membawa taubat dan penyelamatan” (2 Korintus 7:10). Semakin kita sedar bahawa kita memerlukan belas kasihan dan pengampunan daripada Tuhan, maka semakin kita rela memberikan pengampunan kepada orang lain juga. Apabila kita mengalami kehancuran hati akibat dosa kita dan mendapat pengampunan daripada Tuhan, maka kita juga mahu membimbing orang lain untuk mengalami pertaubatan yang membebaskan.

c) Tidak membalas dendam: Membalas dendam merupakan sifat semula jadi manusia. Orang yang hidup di luar rahmat Tuhan akan hidup dalam kepahitan, rasa bersalah, kemarahan, ketakutan, pengasingan, dan kesunyian. Racun daripada hati yang tidak mengampuni bukan sahaja meracuni musuh, tetapi meracuni kita terlebih dahulu. Kita harus menyerahkan pembalasan ke dalam tangan Tuhan dan menunjukkan kebaikan kepada musuh kerana ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat.

d) Keinginan untuk mengasihi orang lain seperti Tuhan telah mengasihi kita: Ini merupakan salah satu tanda khas orang yang mengenal Tuhan. Kita rindu melihat mereka menerima pengampunan daripada Tuhan seperti yang kita alami. Yesus mengajar bahawa orang yang telah diampuni banyak akan mengasihi banyak juga (Lukas 7:40-48). Tindakan kita seharusnya menyatakan usaha Bapa kita yang di syurga untuk memulihkan hubungan yang telah terputus. Ini tidak mudah tetapi inilah misi kita.

Ketika Pengampunan Kelihatan Mustahil

Apakah yang dituntut oleh kasih Kristus? Baca atau muat turun Siri Bimbingan ini untuk memahami erti pengampunan berdasarkan kasih Yesus.

Klik Untuk Selanjutnya