Banyak catatan tentang pelayanan Yesus dalam Injil berpusat pada jamuan makan. Namun, ada satu jamuan yang sangat penting bagi saya. Selepas kebangkitan-Nya, Yesus menjemput para pengikut-Nya untuk bersarapan bersama-sama dengan-Nya di tepi Laut Galilea (Yohanes 21:1-19). Semasa jamuan ini, Petrus yang telah menyangkal Yesus sebanyak tiga kali telah dipulihkan dan diutus semula.
Yesus bertanya kepada Petrus sebanyak tiga kali , “Adakah kamu mengasihiku?” dan setiap kali itu Petrus telah menjawab dengan mengiyakan (Yohanes 21:15-17). Kemudian, Yesus sekali lagi menegaskan kepada Petrus dengan kata-kata: “Berilah anak-anak domba-Ku makan…Peliharalah domba-domba-Ku…Berilah domba-domba-Ku makan…” (Yohanes 21:15-17). Selepas itu, Yesus memberikan panggilan terakhir kepada Petrus: “Ikutlah Aku” (Yohanes 21:19, 22). Selepas bersarapan dengan Yesus, Petrus diubah. Dia merupakansalah satu tiang bagi gereja awal di Yerusalem dan tetap setia pada panggilannya.
Jika kita berasa tidak layak untuk melayani Tuhan disebabkan oleh kegagalan masa lampau kita, Yohanes 21:1-19 mengingatkan kita bahawa Yesus belum selesai dengan kita. Kita mungkin berada di persimpangan hidup, berasa kehilangan dan tidak tahu langkah seterusnya yang kita harus ambil. Kita mungkin bingung dengan peristiwa-peristiwa yang menimpakan kita baru-baru ini.
Ketika dalam kekecewaan dan keputusasaan, kita mungkin memilih untuk bertindak mengikut cara kita dan melakukan sesuatu dengan kekuatan dan usaha kita sendiri. Walaupun kita gagal, Yesus akan mengampuni dan memulihkan kita untuk melayani-Nya.
Seperti para pengikut, dalam keadaan seperti ini, marilah kita menerima jemputan Yesus untuk bersarapan dengan-Nya (Yohanes 21:12). Inilah masanya untuk membaharui kekuatan kita dalam hadirat-Nya dan duduk di kaki Yesus untuk mendengar suara-Nya yang lembut berkata-kata kepada kita: “Berilah anak-anak domba-Ku makan…Peliharalah domba-domba-Ku…Berilah domba-domba-Ku makan…”